Thursday 24 May 2012

Banyak Hadis Tentang Bulan Rejab Palsu?



Terdapat banyak hadis yang menerangkan kelebihan bulan Rejab yang sangat besar fadilatnya. Namun hadis-hadis tersebut tiada yang sahih melainkan sedikit sahaja.



Kita wajib berhati-hati mengenai hadis-hadis, agar kita tidak menyandarkan kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam sesuatu yang palsu. Sehubungan dengan itu, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi menulis:

Tidak ada satu hadis pun mengenai bulan Rejab, melainkan ia hanya satu daripada bulan-bulan haram yang disebut dalam al-Quran surah at-Taubah ayat 36. Bulan-bulan tersebut adalah Rejab, Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Semua itu merupakan bulan yang dimuliakan.

Namun tidak terdapat hadis sahih mengkhususkan kelebihan Rejab kecuali sepotong hadis yang statusnya hasan, iaitu Nabi sallallahu alaihi wasallam paling banyak berpuasa pada bulan Syaaban. Apabila ditanya sebabnya, baginda menjawab (maksudnya): “Sesungguhnya Syaaban adalah bulan yang dilupai manusia, yang terletak antara Rejab dengan Ramadan.”

Difahami daripada hadis di atas, Rejab ada kelebihannya. Adapun hadis yang bermaksud: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku” merupakan hadis mungkar dan sangat daif. Bahkan kebanyakan ulama berkata ia adalah hadis palsu, iaitu dusta semata-mata. Maka ia tiada nilai dari segi ilmiah dan agama.

Begitu juga hadis-hadis lain yang diriwayatkan tentang fadilat Rejab seperti "sesiapa yang solat sekian pahalanya, sesiapa yang beristighfar satu kali maka baginya sekian-sekian." Semuanya itu sangat berlebih-lebihan dan semuanya dusta.

Antara tanda-tanda dustanya hadis-hadis tersebut ialah ia mengandungi perkara-perkara yang sangat melampau dan berlebihan-lebihan. Para ulama berkata, sesungguhnya janji pahala yang besar untuk amal yang sedikit, atau ancaman azab yang teruk ke atas dosa yang kecil adalah bukti menunjukkan hadis itu dusta. Sebagai contoh, terdapat satu hadis yang menyebut bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Sesuap makanan yang masuk ke dalam perut orang yang lapar lebih baik daripada membina seribu masjid”. Hadis ini mengandungi pendustaan yang amat ketara kerana tidak masuk akal memberi sedekah sesuap makanan kepada orang lapar, pahalanya lebih besar daripada membina 1000 buah masjid!

Dan hadis-hadis mengenai kelebihan bulan Rejab adalah termasuk dalam jenis seperti ini. Justeru, para ulama wajib berwaspada terhadap hadis-hadis seperti ini dan mengingatkan manusia tentangnya. Dalam sepotong hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: “Sesiapa yang menyampaikan satu hadis yang dia tahu bahawa hadis itu dusta, maka dia adalah salah seorang pendusta.”

Namun kadang-kadang seseorang itu tidak tahu bahawa hadis yang disampaikan itu dusta. Lantaran itu dia wajib berhati-hati. Banyak kitab yang menjelaskan kedudukan hadis-hadis yang tersebar masyhur dalam kalangan manusia. Para ulama, penceramah mestilah menelitinya. Jangan sampaikan sesuatu kecuali dia yakin akan kebenarannya. Sesungguhnya antara kepincangan yang meresap ke dalam tradisi dan budaya kita ialah hadis-hadis palsu lagi mengelirukan yang dilariskan oleh para penceramah dan orang-orang awam, pada hal ia merupakan pendustaan serta sesuatu yang asing daripada agama.