Wednesday, 28 December 2011

Adab-adab menuntut ilmu


ADAB-ADAB MENUNTUT ILMU

Al-Imam al-Ghazali menggariskan adab-adab di bawah agar diamalkan oleh seseorang penuntut ilmu.Perkara ini wajar diberi perhatian untuk mendapat keberkatan darinya.

1. Mengikhlaskan niat menuntut ilmu untuk mendapatkan keredhaan Allah.
2. Hendaklah bertaqwa kepada Allah setiap masa.
3. Menimbulkan rasa MuraqabatulLah dalam diri.
4. Bersifat Tawadhu’ dan tidak menyombongkan diri .
5. Melatih diri dengan sifat Qana’ah dan Zuhud.
6. Menghiasi diri dengan Kehormatan diri ( Al-Muru`ah ).
7. Menjauhi kemewahan tanpa keperluan.
8. Berpaling dari perkara sia-sia.
9. Bersikap lemah lembut.
10. Banyak melakukan Tafakkur dan Merenung.
11. Mempunyai prinsip yang tetap dalam kebenaran dan berjaga-jaga terhadap sesuatu berita yang diterima.
12. Memelihara kehormatan guru.
13. Mencatat ilmu yang diperolehi.
14. Beramal dengan apa yang dipelajari
15. Mendoakan kebaikan bagi gurunya.
16. Hindari teman yang merosakkan.
17. Bercita-cita tinggi.
18. Menjaga hafalan.
19. Amanah terhadap ilmu yang dipelajari.
20. Menguruskan masa dengan bijak.
21. Merujuk kitab-kitab yang lebih besar.
22. Sentiasa berdiskusi dengan hikmah.
23. Melakukan ulangkaji supaya tidak terlupa.
24. Mempelajari ilmu alat yang berkaitan dengan disiplin itu.
25. Menjauhi perkara syubhat.
26. Jauhi buruk sangka.
27. Jauhi orang yang melakukan bid’ah.
28. Hormati ahli ilmu yang dikenali dengan kebaikannya, muhasabahlah mereka dengan cara yang terbaik tanpa merendahkan mertabat mereka.
29. Jawablah “Saya tidak tahu” jika anda ditanya dalam perkara yang anda memang tidak tahu.
30. Jauhi bergurau yang berlebihan.


-dipetik dari Kitab Ihya` Ulumiddin Bab al-Ilm wa Fadhluh

Kata al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’iey dalam Dewan al-Syafi’iey

أخي لن تنال العلم إلا بستة
سأنبيك عن تفصيلها ببيان
ذكاء وحرص واجتهاد وبلغة
وصحبة أستاذ وطول زمان


Maksudnya :
Saudaraku ! Engkau takkan dapat mencapai ilmu melainkan dengan 6 perkara
Akan kukhabarkan kepadamu dengan penjelasannya
Kecerdikan, kesungguhan,kerajinan, dan makanan berkhasiat yang tidak berlebihan
Dan berkawan dengan gurumu dan lamanya tempoh belajarmu.

by Ustaz Zahazan Mohamed

Tuesday, 20 December 2011

Berjaya: Penilaian siapakah yang kita utamakan?


“Beruntunglah badan.  Wajahnya cantik, dipujai ramai pula!”
“Hebat sungguh dia.  Sudah pakai kereta BMW…!”
“Kau dah tengok rumah dia?  Dahsyat!  Besar betul rumah dia.  Bangga aku jadi kawan dia!”
“Kau nak tahu tak, gaji dia sekarang sudah 5 angka!  Pangkat besar dia sekarang ni.  Berjaya betul dia!”
“Bahagia betul dia tu kan.  Asyik melancong je.  Tiga bulan lepas ke Australia.  Minggu lepas ke London pula”

Begitulah penilaian manusia kepada manusia lain.  Hebat, berjaya atau beruntungnya seseorang semuanya dinilai pada rupa, wang, pangkat dan harta.   Makin cantik rupa, makin banyak wang, makin tinggi pangkat dan makin melimpah harta, maka berjayalah seseorang itu pada pandangan manusia.  Jika tidak mempunyai salah satu darinya, maka akan dinilailah seseorang itu sebagai orang yang rugi dan tidak berjaya.  Itulah kejayaan definisi kebanyakan manusia.

Penilaian ALLAH `Azza wa Jalla yang merupakan TUHAN yang mentadbir dan memiliki alam seluruhnya ini tidak begitu.  ALLAH menilai manusia bukan kepada rupa, wang, pangkat atau harta.  DIA, TUHAN Yang Maha Agung menilai manusia berdasarkan iman, amalan dan taqwa yang dipunyai oleh seseorang manusia itu.

Ciri-ciri orang yang berjaya dan beruntung di sisi ALLAH telah disenaraikan di dalam al-Quran dalam banyak ayat.  Antaranya ialah di dalam surah al-Baqarah, ayat 2-5.  Di dalam ayat tersebut, ALLAH mencirikan orang yang berada di atas jalan hidayah ALLAH dan berjaya ialah orang-orang yang menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan dan petunjuk.  Merekalah orang-orang yang bertaqwa, iaitu yang beriman dengan sungguh-sungguh dengan hal yang ghaib, mendirikan solat, menginfaqkan sebahagian kurniaan yang telah ALLAH berikan, beriman dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam serta apa yang diturunkan kepada para nabi sebelum Baginda.  Mereka juga sangat-sangat yakin dengan adanya kehidupan dan pembalasan Hari Akhirat lalu berusaha mendapat balasan yang baik pada hari tersebut.

Di dalam surah al-Mukminun ayat 1-11 pula, tersenarai lagi beberapa ciri orang-orang yang berjaya untuk kita lekatkan pada diri kita.  Mereka yang berjaya ialah orang-orang yang beriman yang khusyuk di dalam solatnya, yang menjauhkan diri mereka dari perkara-perkara yang tidak berguna, yang menunaikan zakat, yang menjaga kemaluannya, yang menjaga amanah dan janjinya serta orang-orang yang menjaga solatnya.


Orang yang khusyuk dan menjaga solat adalah antara ciri orang yang berjaya pada pandangan ALLAH.

Orang-orang mukmin yang menyeru kepada kebaikan, yang menyuruh kepada hal-hal yang ma`ruf dan yang mencegah dari perkara-perkara yang mungkar juga termasuk di dalam orang-orang yang berjaya.  Hal ini telah disebut oleh ALLAH Jalla wa A`la di dalam ayat 104 dari surah ali-`Imran.

Surah al-A`la dan asy-Syams pula menyebut orang yang beruntung pada pandangan ALLAH ialah orang-orang yang menyucikan jiwanya dengan beriman bersungguh-sungguh kepada ALLAH.

Dan di dalam surah yang biasa kita baca iaitu surah al-`Asr, ALLAH `Azza wa Jalla telah menyebut semua makhluq yang dinamakan manusia berada di dalam kerugian.  Ya, semua dalam kerugian.  Yang tidak rugi ialah manusia yang beriman kepada ALLAH, yang beramal dengan amalan yang soleh, yang nasihat-menasihati dengan kebenaran dan juga supaya tetap dalam kesabaran.

Nah, itulah antara ciri-ciri orang yang berjaya dan beruntung yang telah disebut oleh ALLAH Ta`ala di dalam al-Quran.  Cuba bandingkan dengan kayu ukur penilaian-penilaian manusia.

Marilah kita sama-sama bermuhasabah adakah selama ini kita pernah menitik beratkan penilaian ALLAH dalam menilai diri kita?  Atau adakah selama ini kita terperangkap dengan penilaian manusia lalu berlumba-lumba menaikkan nilai rupa, wang, pangkat dan harta untuk dinilai berjaya pada sisi pandangan manusia?

Penilaian siapakah yang sepatutnya kita kejar dan utamakan?

Terpulanglah kepada masing-masing.  Kerana kita akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tindakan kita.  Pada Hari Akhirat nanti kita masing-masing akan dibangunkan untuk dihisab terhadap semua perbuatan kita ketika hidup di dunia.

Jika keberjayaan dan keberuntungan pada pandangan manusia yang kita kejar selama hidup di dunia, maka nasib kita akan diserahkan kepada manusia-manusia itu pada Hari Akhirat nanti.  Bagaimana nasib akhir kita?  Fikirlah sendiri!

Manakala jika keberjayaan dan keberuntungan pada pandangan ALLAH yang kita kejar selama hidup di dunia yang sementara ini, maka nasib kita akan diserahkan kepada ALLAH Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.  Dan sebaik-baik diserahkan urusan kita ialah kepada ALLAH `Azza wa Jalla!
ALLAHU A`LAM.


Monday, 12 December 2011

Bersabarlah Wahai Saudaraku...





Hidup yang beberapa tempoh lamanya ini tidak terlepas dari kita akan beberapa situasi yang menyukarkan kita. Tatkala ini berlaku, bermacam-macam perasaan datang, yang kadang-kadang boleh merosakkan diri dan iman kita.

Renung dan perhatikanlah beberapa ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam berikut. Ia khusus untuk memperbaiki cara kita pandang dan fikir terhadap setiap masalah yang menimpa diri kita.

Mudah-mudahan kalam ALLAH Yang Maha Benar dan kalam Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam berikut bisa menenangkan jiwa kita. Semoga dengan membacanya makin bertambah kekuatan sabar dan redho di dalam diri kita semua tatkala berhadapan dengan masalah, musibah dan kesukaran, insyaALLAH:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا
Yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu” (Ali ‘Imran, 3:200)

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأمْوَالِ وَالأنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
Yang bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah, 2:155)

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ
Yang bermaksud: “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Az-Zumar, 39:10)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) salat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah, 2:153)

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنْكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ
Yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ihwalmu.”(Muhammad, 47:31)

Berikut pula beberapa hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam:

Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu; kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman, di mana apabila ia mendapat kesenangan ia bersyukur, maka demikian itu sangat baik baginya. Dan apabila ia ditimpa kesusahan, ia sabar, maka yang demikian itu sangat baik baginya.” (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda, ALLAH Ta’ala berfirman:“Tidak ada pembalasan bagi seorang hambaKU yang mukmin yang telah AKU ambil kembali kekasihnya dan ahli dunia ini kemudian ia hanya mengharapkan pahala daripadaKU, kecuali pembalasan syurga.” (HR Bukhari)

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata: “Saya mendengar Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya ALLAH Ta’ala berfirman: “Apabila AKU menguji salah seorang hambaKU dengan buta kedua matanya, kemudian ia sabar, maka AKU akan menggantikannya dengan syurga.” (HR Bukhari)

Dari ‘Atha’ bin Abi Rabah berkata: “Ibnu ‘Abbas radhiAllahu ‘anhuma berkata kepadaku: “Mahukah kamu saya tunjukkan seorang wanita yang termasuk ahli syurga?” Saya menjawab: “Ya, saya mahu”. Ia berkata: “Itu wanita hitam yang pernah datang kepada Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang mana ketika itu dia berkata: “Sesungguhnya saya mempunyai ayah dan sesungguhnya saya mempunyai penyakit ayan, dan sesungguhnya pernah terbuka aurat saya kerananya (penyakit itu), oleh itu doakanlah kepada ALLAH Ta’ala agar penyakit saya sembuh.” Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila kamu mahu sabar maka kamu akan mendapatkan syurga, dan apabila kamu tetap meminta maka saya pun akan berdo’a kepada ALLAH agar DIA menyembuhkan penyakitmu itu.” Wanita itu berkata: “Saya akan bersabar”.Kemudian wanita itu berkata lagi: “Sesungguhnya kadang-kadang sampai terbuka aurat saya, maka do’akanlah kepada ALLAH agar aurat saya tidak terbuka.” Maka Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pun mendo’akan baginya. (HR Bukhari & Muslim)

Dari Abu Sa’id dan Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhuma, dari Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seorang muslim yang tertimpa kecelakaan, kemelaratan, kegundahan, kesedihan, kesakitan mahupun kedukacitaan akibat tertusuk duri pun, nescaya ALLAH akan menebus dosanya dengan apa yang menimpanya itu.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata, Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: Barangsiapa yang dikehendaki oleh ALLAH menjadi orang baik, maka ditimpakan musibah (ujian) kepadanya.” (HR Bukhari)

Dari Ibnu Mas’ud radhiAllahu ‘anhu berkata: “Saya masuk ke tempat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam sedang beliau menderita sakit panas, kemudian saya berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya tuan benar-benar menderita sakit yang panas sekali.” Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Benar, sakit panas yang saya deritai ini dua kali ganda yang biasa dideritai oleh seseorang di antara kamu sekalian.” Saya berkata: “Kalau begitu, tuan mendapat pahala dua kali ganda.” Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:“Benar, memang demikianlah keadaannya. Seorang muslim yang tertimpa suatu kesakitan, baik itu berupa duri ataupun lebih dari itu nescaya ALLAH menutupi kesalahan-kesalahannya dan menghapus dosa-dosanya sebagaimana daun berguguran dari pohonnya.” (HR Bukhari & Muslim)

Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya besarnya pahala itu tergantung pada besarnya ujian.  Dan sesungguhnya apabila ALLAH Ta’ala mencintai sesuatu bangsa maka ALLAH menguji mereka; barangsiapa redho maka ALLAH akan meredhoinya.  Dan barangsiapa yang marah, maka ALLAH akan memarahinya.”  (HR at-Turmudzy)

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata, Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Apabila ALLAH menghendaki hambaNYA itu menjadi orang baik maka DIA akan menyegerakan seksaannya di dunia ini, dan apabila ALLAH menghendaki hambaNYA itu menjadi orang jahat, maka DIA akan menangguhkan balasan dosanya sehingga akan dituntut nanti pada Hari Kiamat.”

Dari ‘Aisyah radhiAllahu ‘anha bahawasanya dia bertanya kepada Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tentang wabak taun.  Kemudian Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam memberitahu kepadanya bahawa wabak taun itu merupakan seksaan yang ditimpakan oleh ALLAH Ta’ala kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNYA.  Akan tetapi ALLAH Ta’ala menjadikannya sebagai rahmat bagi orang-orang yang beriman.  Seseorang yang tetap tinggal pada suatu daerah yang dijangkiti taun dan dia sabar, malah memohon kepada ALLAH serta sedar bahawa dia tidak akan tertimpa musibah itu kecuali apabila ALLAH telah mentaqdirkannya maka dia akan mendapat pahala seperti pahalanya orang yang mati syahid.  (HR Bukhari)

Semoga hati kita lebih tenang dan redho setelah membaca kalam-kalam yang mulia di atas. Lantas menerbitkan kesabaran yang mantap dan iman yang padu dalam menempuh ranjau hidup yang penuh mencabar di hadapan sana. Mudah-mudahan ALLAH bersama-sama kita, amin…
WAllahu Ta’ala A’lam.

Sunday, 4 December 2011

Jom Puasa!!




Hari ‘Asyura merupakan hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram. Rasulullah S.A.W telah menggalakkan umat Islam agar berpuasa pada hari ini kerana ia mempunyai kelebihan yang tersendiri disamping kelebihan bulan Muharram itu sendiri.10 Muharram juga telah mencatatkan beberapa peristiwa penting untuk renungan kita bersama iaitu pada hari inilah nabi Musa dan pengikutnya telah diselamatkan oleh Allah daripada musuh mereka.


Disini dibawa beberapa hadis yang sohih mengenai kelebihan berpuasa pada 10 Muharram yang dikenali sebagai hari ‘Asyura.


Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura. (HR Bukhari)

Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (HR Muslim)

Dari Salamah bin Akwa r.a. dia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengutus seorang lelaki suku Aslam pada hari Asyura dan memerintahkan kepadanya supaya mengumumkan kepada orang ramai, "Sesiapa yang belum puasa hari ini hendaklahlah dia berpuasa dan siapa yang telah terlanjur makan hendaklahlah dia puasa juga sejak mendengar pemgumuman ini sampai malam". (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, " Penduduk Khaibar berpuasa pada hari asyura dan menjadikannya sebagai hari raya, dimana wanita mereka memakai perhiasan dan pakaian yang indah pada hari itu. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Puasalah kamu pada hari itu". (HR Muslim)

Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "Dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (HR Muslim)


Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla', disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram. Tetapi tidak ditegah jika berpuasa hanya pada 10 Muharram sahaja. 



Hadis ini menjelaskan kepada kita berkenaan dengan kelebihan berpuasa pada hari ‘Asyura. Ulama’ juga berpesan agar kita turut berpuasa pada hari kesembilan Muharram bagi membezakan antara puasa kita dengan yahudi yang berpuasa pada hari kesepuluh Muharram.Yahudi berpuasa pada hari tersebut kerana pada 10 Muharamlah nabi Musa dan pengikutnya diselamatkan daripada Firaun dan tenteranya yang zalim. Hukum berpuasa pada hari ini adalah disunatkan bukannya satu kewajipan. Siapa yang mahu berpuasa maka bolehlah berbuat demikian dan ganjaran yang besar dijanjikan kepada mereka yang berpuasa pada hari ini iaitu diampuni segala dosanya pada tahun-tahun yang lalu.Semoga kita dapat menggunakan segala peluang yang ada untuk menambahkan amalan sebagai bekalan di akhirat nanti.
Niat Puasa Bulan Muharram (Puasa ’Asyura)
نويت صوم عشر سنة لله تعالى
NAWAITU SAUMA ‘ASYURA LILLAHI TA’ALA
Ertinya: “Sahaja aku puasa hari ’Asyura , sunnah kerana Allah ta’ala.”



Sumber: http://lenggangkangkung-my.blogspot.com/2011/12/hari-asyura-10-muharram.html dan http://www.islamituindah.my/fadhilat-puasa-sunat-asyura