Monday, 4 June 2012

Lelaki-Lelaki Subuh


Waktu subuh? Solat subuh? Dan kemudiannya lelaki-lelaki subuh?
Apakah itu? Siapakah pula mereka-mereka itu? Macam pelik je bunyinya?
Saya jamin, jika tidak banyak, pasti rakan-rakan sekalian punyai sedikit kemusykilan..
Sebenarnya, persoalan di atas berkait rapat dengan solat subuh. Spesifiknya lagi, persoalan di atas boleh dirumuskan begini;
Adakah anda bersolat subuh secara berjemaah di masjid atau di surau?
Jika ya, syabas diucapkan. Jika tidak, ayuh kita sematkan azam bulatkan tekad untuk lebih beristiqamah solat subuh secara berjemaah di masjid selepas ini. Boleh bukan?.
Soalan kedua pula, kesinambungan dari soalan pertama..
Selepas solat subuh.. apa yang anda lakukan? Membaca Al Quran? Bagus jika ya.. selepas itu?Oppss, alamak.. saya tertidur.
Insya-Allah, hadirnya saya menulis disini adalah untuk bercerita serba ringkas apa yang saya dapat dari program motivasi sebentar tadi di Melaka. Rugi rasanya jika saya tidak berkongsi dengan kalian semua, kerana banyak input menarik yang boleh dirungkai dan dikupas bersama.
Walaupun pada mulanya program ini hanyalah untuk para peserta, tetapi saya dan fasilitator lain turut terpaku mendengar satu demi satu fakta yang dikupas secara teliti dan 'mempersonakan' menarik saya dan yang lain untuk sama-sama mendengar ceramah yang disampaikan. Terima kasih Dr. Ariff.
Rakan-rakan sekalian..
Ada kalanya kita rasa suram, rasa sedih, rasa murung. Bak kata remaja-remaja sekarang, bangun-bangun pagi saja dah emo. Seperti ada sahaja yang tidak kena. Dimanakah silapnya?
Silapnya adalah kerana anda tidur selepas solat subuhAduh, memang tepat mengena di pelusuk kiri jantung ini.
Penceramah dengan penuh hemat menceritakan bahawa tidur selepas waktu subuh adalah sangat tidak baik untuk emosi dan kesihatan.
Kenapa? Kerana anda akan disihir jin.
[rujuk surah Al - Falaq]
"Katakanlah, "Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh (fajar)"
"Dari kejahatan (makhluk yang dia ciptakan)"
"Dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita"
"Dan dari kejahatan (perempuan-perempuan) penyihir yang meniup pada
buhul-buhul (talinya)."
"Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila dengki."
Jadi, mulai saat dan detik ini, mari kita sematkan azam untuk berubah. Insya-Allah!
Selain itu, saya pasti ramai yang mengetahui bahawa waktu subuh bukan sahaja waktu yang penuh dengan rezeki, tetapi juga penuh dengan Ilham. Jika anda tidak percaya, cubalah anda belajar atau mencari idea-idea pada waktu subuh.. pasti idea dan solusi-solusi bernas akan timbul. Begitu juga satu jam belajar pada waktu subuh lebih berharga dari 4 jam belajar pada waktu-waktu lain. Namun harus diingat, niat itu yang terutama.
Menyebut pada soal niat pula.. "Setiap perbuatan itu bermula daripada niat" sedarkah bahawa setiap gerak dan kerja menuju kejayaan itu adalah bermula daripada niat. Bagaimana?
Kita gambarkan melalui satu analogi..
Pelajar yang berniat menjadi seorang Doktor yang berjaya di dunia dan di akhirat pasti akan memandang buku anatomy sebagai satu kesukaan dan ibadah, berbeza pula dengan pelajar yang mengambil bidang kedoktoran ini secara suka-suka, ikut-ikutan dan kerana inginkan pangkat dan harta kekayaan.. mereka tidak akan lihat belajar itu sebagai satu ibadah dan perkara yang menyeronokkan. Hasilnya, mereka akan mudah stress dan jemu.. pernahkan anda berasa sedemikian? jika ya.. ayuh kita perbetulkan niat!
Pesan ayah..
"Ayah tengok budak-budak muda sekarang yang masuk dakwah ni bukan tak bagus, diorang ni bagus.. tapi tengoklah macam mana diorang kerja. Time mengajar baca paper, datang sekolah lambat.. akhlak macam inikah contoh seorang pendakwah?"
Tersentak saya seketika, lalu saya menyoal kembali kepada diri.. di manakah silapnya.. saya tidak mahu soal ini menjadi fitnah bagi dakwah...
Kembali berbalik kepada persoalan di atas, Alhamdulillah, ketika itu saya sedang membaca buku terbaru karya Ustz Pahrol Mohamad Juoi, 'Dilema Melayu- islam, kurang fikir atau kurang zikir'. Didalam bab 21 iaitu 'Salah faham tentang islam', beliau banyak mengulas sikap sesetengah golongan melayu-islam yang bukan sahaja salah tafsir tentang islam tetapi menyempitkan sudut pandangan mereka tentang islam.
"Mereka cenderung melihat Islam pada aspek rohaniah semata-mata dengan membelakangkan aspek material, ataupun hanya melihat aspek material dengan meminggirkan soal rohaniah" - Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.
Adakah mereka lupa bahawa dunia ini adalah ladang bagi tanaman akhirat?
Kekeliruan seperti inilah yang harus kita bendung. Ini adalah kerana akibat kelemahan sistem penyampaian islam oleh para pendakwah mereka sebenarnya secara tidak sedar bahawa akhlak dan sikap mereka juga  menimbulkan fitnah bagi dakwah Islamiah itu sendiri.
Dr Yusuf Al Qadrawi pernah memetik kata-kata seorang sarjana barat yang terbuka hatinya untuk memeluk islam "Subhanallah yang mengenalkan aku islam sebelum aku mengenal orang islam" Ertinya, mungkin jika sarjana tersebut mengenal umat Islam terlebih dahulu hatinya akan tawar memeluk islam!
Maka ayuh, kita jadikan ia sebagai motivasi agar kita boleh menjadi seorang pelajar dan pendakwah yang baik. Hiasilah jiwa kita dengan akhlak dan sifat-sifat seorang pelajar yang cemerlang. Bukan kecemerlangan duniawi sahaja yang ingin dicari tetapi kecemerlangan akhirat juga harus ditampilkan dengan Qudwah Hasanah yang mungkin boleh mencairkan hati insan-insan yang ingin kita dakwahkan itu.
Pesan Imam Hassan Al Banna
Bagi para dai dan murobbi, mari kita tunaikan sepuluh wasiat ini. Ia adalah resipi mujarab buat pengubat umat. Kaedah yang teruji sepanjang perjalanan waktu hingga kini. Mari kitaprioritaskan dan amalkan.
1. Bangunlah segera untuk melaksanakan shalat apabila mendengar adzan walau bagaimanapun keadaanmu.
2. Baca, telaah dan dengarkanlah al- Qur'an, berzikirlah kepada Allah dan janganlah engkau senang menghambur-hamburkan waktumu dalam masalah yang tiada faedahnya.
3. Bersungguh-sungguh untuk boleh berbicara dalam bahasa arab yang fasih.
(InsyaAllah, mahirkan bahasa melayu dahulu kerana medium dakwah kita yang paling utama di Malaysia ialah umat islam melayu. Tetapi harus diingat, bahasa arab juga penting kerana ia adalah bahasa Al Quran)
4. Jangan memperbanyak debat dalam percakapan kerana itu tidak akan mendatangkan kebaikan.
5. Jangan banyak tertawa kerna hati yang selalu berkomunikasi (berzikir) dengan Allah sifatnya aman dan tenteram.
6. Jangan suka bergurau kerana umat yang berjihad akan senantiasa berusaha bersungguh-sungguh.
7. Jangan mengeraskan suara di atas suara yang diperlukan pendengar, kerana hal itu akan menganggu dan meyakiti.
8. Jauhilah ghibah (mengumpat) atau menyakiti hati orang lain dalam bentuk apa pun dan janganlah berbicara kecuali yang baik.
9. Berkenalanlah dengan setiap saudara yang saudara temui kerana asas dakwah kita adalah saling kenal-mengenal dan berkasih sayang.
10. Pekerjaan utama kita adalah tertumpu pada waktu yang tersedia, maka tolonglah saudaramu untuk memanfaatkan waktunya, dan apabila kalian punyai keperluan maka sederhanakanlah dan cepatlah diselesaikan.
Alhamdulillah.

Thursday, 24 May 2012

Banyak Hadis Tentang Bulan Rejab Palsu?



Terdapat banyak hadis yang menerangkan kelebihan bulan Rejab yang sangat besar fadilatnya. Namun hadis-hadis tersebut tiada yang sahih melainkan sedikit sahaja.



Kita wajib berhati-hati mengenai hadis-hadis, agar kita tidak menyandarkan kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam sesuatu yang palsu. Sehubungan dengan itu, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi menulis:

Tidak ada satu hadis pun mengenai bulan Rejab, melainkan ia hanya satu daripada bulan-bulan haram yang disebut dalam al-Quran surah at-Taubah ayat 36. Bulan-bulan tersebut adalah Rejab, Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Semua itu merupakan bulan yang dimuliakan.

Namun tidak terdapat hadis sahih mengkhususkan kelebihan Rejab kecuali sepotong hadis yang statusnya hasan, iaitu Nabi sallallahu alaihi wasallam paling banyak berpuasa pada bulan Syaaban. Apabila ditanya sebabnya, baginda menjawab (maksudnya): “Sesungguhnya Syaaban adalah bulan yang dilupai manusia, yang terletak antara Rejab dengan Ramadan.”

Difahami daripada hadis di atas, Rejab ada kelebihannya. Adapun hadis yang bermaksud: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku” merupakan hadis mungkar dan sangat daif. Bahkan kebanyakan ulama berkata ia adalah hadis palsu, iaitu dusta semata-mata. Maka ia tiada nilai dari segi ilmiah dan agama.

Begitu juga hadis-hadis lain yang diriwayatkan tentang fadilat Rejab seperti "sesiapa yang solat sekian pahalanya, sesiapa yang beristighfar satu kali maka baginya sekian-sekian." Semuanya itu sangat berlebih-lebihan dan semuanya dusta.

Antara tanda-tanda dustanya hadis-hadis tersebut ialah ia mengandungi perkara-perkara yang sangat melampau dan berlebihan-lebihan. Para ulama berkata, sesungguhnya janji pahala yang besar untuk amal yang sedikit, atau ancaman azab yang teruk ke atas dosa yang kecil adalah bukti menunjukkan hadis itu dusta. Sebagai contoh, terdapat satu hadis yang menyebut bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Sesuap makanan yang masuk ke dalam perut orang yang lapar lebih baik daripada membina seribu masjid”. Hadis ini mengandungi pendustaan yang amat ketara kerana tidak masuk akal memberi sedekah sesuap makanan kepada orang lapar, pahalanya lebih besar daripada membina 1000 buah masjid!

Dan hadis-hadis mengenai kelebihan bulan Rejab adalah termasuk dalam jenis seperti ini. Justeru, para ulama wajib berwaspada terhadap hadis-hadis seperti ini dan mengingatkan manusia tentangnya. Dalam sepotong hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: “Sesiapa yang menyampaikan satu hadis yang dia tahu bahawa hadis itu dusta, maka dia adalah salah seorang pendusta.”

Namun kadang-kadang seseorang itu tidak tahu bahawa hadis yang disampaikan itu dusta. Lantaran itu dia wajib berhati-hati. Banyak kitab yang menjelaskan kedudukan hadis-hadis yang tersebar masyhur dalam kalangan manusia. Para ulama, penceramah mestilah menelitinya. Jangan sampaikan sesuatu kecuali dia yakin akan kebenarannya. Sesungguhnya antara kepincangan yang meresap ke dalam tradisi dan budaya kita ialah hadis-hadis palsu lagi mengelirukan yang dilariskan oleh para penceramah dan orang-orang awam, pada hal ia merupakan pendustaan serta sesuatu yang asing daripada agama.

Saturday, 21 April 2012

MESRA @ Mangalore



Bismillahirahmanirrahim.

Alhamdulillah, nampaknya bagaikan satu  ledakan fenomena di Mangalore kini, masing-masing memperkatakan tentang "mesra", ya ..
pastinya setiap kontinjen/atlet/peserta/penyorak/penjual makanan semakin berdebar-debar menantikan hari penentu. 
tidak sedikit keringat mengalir untuk memastikan gelaran juara dirangkul, tidak kurang masa diluangkan bagi menyusun atur majlis agar berjalan lancar, tidak lokek kredit untuk promosi jualan-jualan hebat.. waa.. pastinya semua ternanti-nanti...!!!

namun...
kenapa ya kita perlu bersusah payah? perlu berhabis harta? perlu berpeluh keringat?

Ada perkara KECIL yang akan membawa impak yang BESAR yang perlu kita santuni...

NIAT??

ask yourself. you know what you really want...yes, i don't know. only you and He know. don't play-play.

"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung dengan niat, dan setiap perkara itu adalah seperti yang diniatkan."

insyaAllah, marilah kita sama-sama memperbetul niat dalam setiap amalan yang kita lakukan, hatta bersukan sekalipun..kerana niat itu yang menentukan balasan yang kita terima nanti.

niat yang bagaimana??
pastinya niat bersandarkan Allah swt, tiada tampalan. Kita kan hambaNya 24/7. Kan?even di padang , di gerai makanan, di sekolah, di etc.. kita adalah hambaNya... maka, oleh yang demikian, adalah hendaknya amalan kita juga selari dengan niat kita..
mana mungkin niat kerana Allah tetapi amalan bertentangan..errr..

ayuh, bersama koreksi diri..Islam tak pernah menyusahkan sebaliknya memudahkan..bukankah selamat , sejahtera,peace...:):):)






SELAMAT BER'MESRA'.....
moga mendapat redhaNya..

p/s: waktu solat bagi kawasan mangalore dan yang sama waktu dengannya pada 22 April 2012:
       subuh : +/-  4.59 a.m
       zohor : +/- 12.30 p.m




Friday, 30 March 2012

Di Mana Dia Di Hatimu?




Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka.
Ketika Saidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita."
Itulah kehebatan Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya.

Ketika di ambang maut?
Sewaktu Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu meletakkan pedang di leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku?"
Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH."
Mendengar jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah... sentiasa ada DIA di hati baginda.

Ketika tiada siapa mengetahui?
Diceritakan juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"
"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."
"Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.
"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.
Saidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya, dia punya kedudukan yang tinggi di sisiALLAH. Jelas ada DIA di hatinya.

Ketika kamu tiada jawatan?
Satu ketika yang lain, Saidina Khalid Al-Walid diturunkan pangkatnya daripada seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh Khalifah Umar. Keesokannya, Saidina Khalid tetap ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas sedikit pun perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat.
Ketika ditanya mengapa, Saidina Khalid menjawab, "Aku berjuang bukan kerana Umar." Ya, Saidina Khalid berjuang kerana ALLAH. Ada DIA di hatinya.

Lalu, di mana Dia dihati kita?
Melihat anekdot-anekdot itu, aku terkesima lalu bertanya kepada diri, di manakah DIA dalam hatiku?
Apakah ALLAH sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk serta membujuk hatiku yang rawan?
ALLAH ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta ALLAH bersemi. Jika cinta ALLAH yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya, cinta selain-NYA yang ada di situ, maka cinta ALLAH akan terpinggir. Ketika itu, tiada DIA di hatiku!

Sering diri ini berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidupku, kata mereka (dan aku amat yakin dengan kata itu);

"Bila ALLAH ada di hatimu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki."

Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah ALLAH menjadi tumpuan dalam hidupku?
Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-NYA?
Bila bertembung antara kehendak-NYA dengan kehendakku, kehendak siapa yang aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerana-NYA? Tegakah aku membenci juga kerana-NYA?
Muhasabah ini melebar lagi. Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam-MU?
Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?
Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai-MU, ya ALLAH.

Dan aku juga tidak dapat mendustai diri sendiri
Aku teringat bagaimana suatu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, "Apakah engkau takutkan ALLAH?"
Dia menangis dan menjawab, "Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan ALLAH bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat ALLAH tapi aku tidak..."

Maksudnya, jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan ALLAH pun sukar bila ditanyakan apakah ada DIA di hatinya, lebih-lebih lagilah aku yang hina dan berdosa ini.
Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta ALLAH dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.

Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu?"

Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA."

Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin ALLAH itu dekat, pintu keampunan-NYA lebih luas daripada pintu kemurkaan-NYA.
Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya... aku yakin... suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.
Dan kita akan terus mengemis kasih...


By: Pahrol Mohd Juoi

Friday, 23 March 2012

Cerita-Ceriti Syria



[Kredit]

Sudah ramai orang yang meminta saya untuk menulis sesuatu untuk dan tentang Syria. Alhamdulillah, akhirnya saya dipermudahkan, diberikan kekuatan olehNya untuk mewarkahkan penulisan ini. Selama ini saya agak keberatan untuk menulisnya. Bukan apa, untuk bercakap tentang sesuatu yang besar dan penting memerlukan kajian dan berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan. Dan kajian memerlukan masa dan ruang yang secukupnya; tersalah cakap pula akan menyebabkan saya sama ada bakal disaman oleh Kerajaan Syria atau diburu oleh pembunuh upahan Bashar al-Assad yang selama ini sememangnya dengki pada saya heyy! Eh.

Sebelum kita melihat pada krisis yang sedang berlaku di Syria, mari kita selusuri sejarah ringkas negara tersebut, untuk lebih memahami sedikit-sebanyak kedudukan sosio-politik negara tersebut. Juga untuk memberi kita kefahaman dan semangat mengapa kita sebagai umat Islam amat perlu turun padang untuk membantu dan mempertahankan saudara-saudara kita di sana. Ini soal ummah sejagat; maka kita perlu ambil tahu dan ambil peduli.

Syam: Kota Penuh Bersejarah

Syria, (atau Suriah) adalah salah satu daripada empat buah negara Kota Syam, sememangnya mempunyai kedudukan yang cukup istimewa di sisi Islam. Malah Allah merakamkan keistimewaan wilayah ini di dalam al-Quran pada surah Quraisy apabila Allah ingin mengingatkan bangsa Quraisy tentang keistimewaan dan kelebihan yang telah Allah kurniakan kepada mereka. 

"Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy, (iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim sejuk dan musim panas. Maka hendaklah mereka meyembah Tuhan (pemilik) rumah ini (Kaabah), yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka daripada rasa ketakutan." 
[Quraisy, 106: 1-4] 

Para mufassirin sependapat bahawa 'berpergian pada musim panas' yang disebut di dalam surah ini adalah merujuk kepada kebiasaan orang-orang Quraisy yang pergi berdagang ke Syam pada musim panas. Sememangnya Syam cukup sinonim sebagai sebuah kota perdagangan kerana kedudukannya yang cukup strategik. Malah sekiranya anda masih ingat, dalam peristiwa perang Badr, Abu Sufyan telah menjual seluruh harta-benda umat Islam yang meninggalkan kota Mekah untuk berhijrah ke Madinah, di Syam.

Di zaman Khilafah Bani Umayyah, kota Damsyik yang terletak di Syria dijadikan pusat pemerintahan para khalifah ketika itu, menggantikan Madinah. Kedudukan Damsyik sebagai tempat bersemayamnya khalifah ummah ini kekal sehinggalah kejatuhan Umayyah dan digantikan dengan 'Abbasiyyah yang menjadikan Baghdad sebagai pusat pemerintahan mereka. 
Masjid Umayyah, Damsyik: Manifestasi kegemilangan Khilafah Umayyah

Laju ke hadapan, selepas Perang Dunia Pertama di mana dunia menyaksikan berakhirnya sistem khilafah Islamiyyah secara rasminya di Turki pada 1924, Syria telah menjadi tanah jajahan Perancis. Setelah berlakunya pergolakan politik yang cukup meriah lagi rumit (Oh percayalah, anda tidak mahu tahu-menahu tentangnya!), akhirnya Syria mendapat kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1946. 

Pada tahun 1970, Hafez al-Assad (bapa kepada Bashar al-Assad) telah merampas kuasa melalui bantuan partinya, Parti Baath. Hafez telah memerintah secara autokratik, bengis dan kejam sehinggalah kematiannya pada tahun 2000.

Era Pemerintahan Hafez al-Assad 

Hafez al-Assad akan dikenang dalam lipatan sejarah sebagai seorang pemimpin zalim yang sentiasa dahagakan darah para pejuang Islam yang menentang tampuk pemerintahannya. Berasal dari latar belakang Syiah Alawi, yakni Syiah yang dianggap sesat dan merupakan golongan minoriti di Syria (kurang lebih 6% daripada jumlah penduduk keseluruhan), Hafez mengamalkan polisi diskriminasi apabila menaikkan dan melantik para pemimpin kerajaan daripada ahli keluarganya yang terdekat dan di kalangan kaum Syiah Alawi. 

Parti Baath yang dipimpin Hafez adalah sebuah parti sekular dan menjalankan pemerintahan secara diktator apabila pemilihan Presiden dilaksanakan secara referendum dan bukan pemilihan secara demokratik. Maka tidak hairanlah sentiasa berlaku protes dan penentangan demi penentangan ke atas pemerintahan Hafez. Dan Hafez bertindak pantas dengan menghapuskan para penentangnya sama ada dengan cara penangkapan, penyeksaan mahupon pembunuhan. Hafez tampaknya tidak pernah ragu-ragu untuk menghapuskan sebarang bentuk ancaman ke atas dirinya.

Kemuncak kekejaman Hafez berlaku pada tahun 1982, apabila Hafez mengarahkan ketumbukan tentera Syria untuk menghapuskan kebangkitan Ikhwanul Muslimin di Syria yang berpusat di kota Hama. Ikhwan yang bangkit akibat tidak lagi tertahan dengan penindasan yang dilakukan oleh rejim Hafez, menjadikan Hama sebagai pusat operasi gerak kerja mereka. Gerakan mereka tampaknya membuahkan hasil apabila semakin ramai yang bangkit menentang kekejaman Hafez.

Hafez yang menyedari bahaya ancaman Ikhwan ini, dengan penuh berang mengarahkan agar kota Hama dibom dan para pejuang Ikhwah diburu hingga ke lubang cacing. Akibatnya puluhan ribu (ada yang menganggarkan kira-kira 46,000 ribu!) pejuang Islam gugur syahid di tangan Hafez dan konco-konconya. Sebahagian besar daripada yang syahid ini adalah penganut Ahlul Sunnah wal Jamaah. Selepas peristiwa ini, Hafez mengharamkan Ikhwanul Muslimin. Malah sesiapa yang menyertainya akan dihukum bunuh!

Hafez juga terkenal dengan penglibatannya dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin! Walaupon media Syria menggambarkan Hafez sebagai pembela nasib rakyat Palestin, anda semua sila jangan tertipu dengannya hey!  Penglibatan Hafez dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di kem pelarian Tel Al-Zaatar tidak dapat dinafikan lagi. Choyyy. Begitu juga dengan hakikat bahawa Bukit Golan yang diduduki oleh Zionis laknatullah dan terletak hanya beberapa kilometer dari Damsyik, tidak pernah diganggu-gugat, dijentik pon tidak oleh Hafez. Walhal Hafez dengan penuh riang rianya menumpahkan darah umat Islam, rakyat negaranya sendiri!


Era Pemerintahan Bashar al-Assad

Naiknya Bashar al-Assad ke taktha pemerintahan Firaun Syria adalah tidak dirancang sebenarnya. Pada mulanya, Hafez telah pon melatih anak lelaki sulungnya, Bassel al-Assad untuk menggantikannya. Namun, takdir Allah menentukan segalanya apabila Bassel mati dalam suatu tragedi kemalangan jalan raya.

Bashar yang ketika itu sedang menuntut di Kerajaan Bersatu dalam bidang perubatan mata dipanggil pulang untuk mengisi vakum yang ditinggalkan Bassel. Bashar, yang merupakan seorang yang pendiam dan kurang dikenali, mula diberikan tugas, amanah dan kedudukan dalam pasukan tentera dan rejim Syria.

Selepas kematian bapanya pada tahun 2000 akibat paru-paru berair, Bashar dilantik menjadi Presiden Syria yang baru tanpa sebarang tentangan. Bashar dilihat sebagai Presiden yang popular kerana mewakili anak muda Syria dalam membawa reformasi dan perubahan pada Syria (dia dilantik menjadi Presiden ketika berusia 34 tahun). Malangnya, reformasi dan perubahan ini tidak diterjemahkan dalam erti kata yang sebenar, dan akhirnya rakyat Syria bangkit bagi menentang penindasan rejim Bashar al-Assad.

Revolusi Rakyat Syria

Mungkin tak ramai yang tahu punca sebenar kebangkitan rakyat Syria kerana macam mana nak tahu kalau hari-hari baca Utusan Online atau Metro sahaja *koff koff*. Peristiwa yang mencetuskan kepada kebangkitan rakyat tidaklah seromantik kejadian yang mencetuskan revolusi di Tunisia misalnya, apabila Mohamed Bouazizi membakar dirinya hidup-hidup. Tetapi ia cukup signifikan untuk membangkitkan kemarahan rakyat Syria hingga menyebabkan satu-persatu domino jatuh menyembah bumi (Baca: Teori domino dan bukannya pizza Domino's itu tahu..?).

Semuanya bermula apabila sekumpulan kanak-kanak di sebuah tadika yang menconteng dinding tadika mereka dengan tulisan, "Kami Mahu Jatuhkan Kerajaan!"Apabila perkara ini diketahui oleh anjing-anjing Bashar, kanak-kanak ini ditangkap dan diseksa, antaranya dengan mencabut kuku-kuku mereka! Malah ada yang mati akibat seksaan keras yang dikenakan terhadap mereka. Bayangkan kanak-kanak tadika yang masih belum kenal pon erti kehidupan yang sebenar dilayan sebegitu rupa!

Apabila ibu bapa dan ahli keluarga kanak-kanak tersebut pergi untuk menuntut agar dibebaskan anak-anak mereka, permintaan mereka ditolak dengan keras. Malah, mereka diludah pula dengan kata-kata keji,

"Kamu balik sahajalah. Lupakan anak-anak kamu dan anggaplah mereka telah tiada. Jika kamu hendak anak-anak lagi, berikan kepada kami isteri-isteri kami (untuk kami rogol); hasil daripada itulah anak-anak kamu!"

Terasa mahu beri pelempang Jepun tiga ratus enam puluh darjah secara percuma bukan..?

Rentetan kekurangajaran mereka itu, rakyat menjadi berang dan sedikit demi sedikit, kemarahan mereka itu merebak pula ke seluruh Syria. Daripada ratusan, menjadi ribuan dan akhirnya bertukar menjadi kebangkitan jutaan rakyat Syria! Menariknya, kebangkitan rakyat Syria dipelopori oleh mereka yang berfahaman Ahlul Sunnah wal Jamaah, menjadikan revolusi ini seolah-olah kebangkitan Sunni menentang Syiah.

Ya, bunyinya seperti tidak terpercaya bukan? Seolah-olahnya anda sedang membaca hikayat dongeng yang diperdengarkan kepada anda sewaktu kecil dahulu sebelum hendak tidur. Dan anda menjangkakan pastilah pengkakhiran cerita dongeng ini akan disudahi dengan kehidupan gembira selama-lamanya (Baca: Happily ever after). Macam tidak logik pula kebangkitan rakyat secara besar-besaran dicetuskan oleh kanak-kanak tadika yang tidak berdosa. Tetapi itulah hakikatnya. Dan pastikan anda telan dan hadam fakta ini betul-betul kerana begitu banyak dakyah dan fitnah disebarkan di luar sana bagi mengelirukan umat Islam dan dunia tentang apa yang sebenarnya berlaku.

Of kos, peristiwa di tadika itu hanyalah pencetus dan bukannya faktor penyebab kepada revolusi Syria. Maknanya, rakyat Syria selama ini ibaratnya gunung berapi yang terpendam lama, hanya menunggu masa yang sesuai untuk meletus. Pastinya rakyat sudah lama memendam rasa dengan penindasan yang dilakukan oleh rejim Bashar, ditambah pula dengan sikap berat sebelahnya terhadap kaum Syiah Alawi. Menarik sekali apabila dibuat perbandingan, apa yang berlaku di Syria sekarang ini tidak jauh bezanya dengan layanan kerajaan Saddam Hussein di Iraq dahulu terhadap kaum Syiah minoriti di sana. Akhirnya, peristiwa kanak-kanak tadika yang diseksa itu telah menyebabkan rakyat meletup, bangkit menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan mereka.

Kebangkitan rakyat Syria pada mulanya dipandang enteng oleh rejim Bashar. Mereka menyangkakan yang kemarahan dan protes yang dicetuskan oleh rakyat itu hanyalahwarm warm chicken shit sahaja. Mereka silap. Hari demi hari, kebangkitan rakyat semakin menular dengan begitu pantas. Kebangkitan rakyat amat berapi dan mata bersinar-sinar terutamanya di Homs, Hama, Deera dan Doma, menyebabkan Bashar dan konco-konconya panas punggung dan berpeluh tengkuk. Tidak disangka Bashar, kepemimpinannya suatu hari nanti akan dicabar dan dibenci.

Arakian Bashar dan anjing-anjingnya mengambil keputusan untuk mengikuti jejak bapanya dengan menghapuskan segala ancaman yang wujud terhadap pemerintahannya dengan apa cara sekalippon. Dasar bapa borek, anak rintik! Orang awam yang menyertai protes ditembak tanpa rasa kasihan. Aktivis-aktivis kebangkitan dicari, dikejar sehingga ke lubang cacing, ditangkap di tengah malam dan diseksa atau dibunuh. Malah wanita dan anak-anak kecil juga tidak terlepas daripada kezaliman Bashar.

Kekejaman dan kezaliman Bashar bukan satu dongengan. Bukan satu rekaan untuk memburukkan reputasinya yang sudah pon sedia tercalar. Ia direkodkan dengan baik dan teliti sekali, baik melalu testimoni mereka yang terselamat dan askar-askar yang belot melarikan diri daripada Bashar, atau melalui rakaman video dan gambar yang sempat diambil oleh para saksi.

Antara video yang amat menggugah jiwa adalah apabila rakyat Syria dipaksa untuk menyebut 'Laila ha illa Bashar!' atau 'Tiada sembahan selain Bashar!' Astaghfirullah..  Dan mereka yang enggan menyebutnya akan dirobek mulut mereka, sehingga hilang bahagian rahang bawah mereka (gambar ini sudah tersebar dengan banyaknya di MukuBuku; menggeletar juga lutut saya menyaksikannya). La hawla wa quwwata illa billah..

Celakalah kau wahai Bashar! Tiada Tuhan, Ilah atau Raja yang layak disembah melainkan Allah dan Allah sahajalah! Mahukah dikau mendapat kemurkaan dan seksaan sepertimana yang Allah turunkan kepada Firaun laknatullahi 'alaih..??

Ok emo sekejap di situ. 

Belum lagi dihitung kekejaman dan kezaliman yang lain yang dilakukan Bashar dan anjing-anjingnya. Misalnya, nasib yang menimpa seorang gadis sunti, Zainab al-Husni, 23 tahun, yang dikerat empat dan dicampak mayatnya di hadapan rumah keluarganya, semata-mata kerana dia melawan kerana tidak mahu dirobek daranya oleh tentera Bashar laknatullah. Belum lagi dikira nasib 19 orang doktor dan dan 40 orang pesakit di sebuah hospital di Doma yang dibunuh dengan kejam oleh anjing-anjing Bashar. Allahu Akbar! Moga Allah mengurniakan syahid kepada kalian semua! Kalian tuntutlah di hadapan mahkamah Allah yang Maha Agung lagi Adil di Mashyar kelak; Dia pasti tidak akan mengecewakan kalian!

Sehingga kini, sudah ribuan nyawa yang gugur sejak revolusi Syria tercetus setahun yang lalu (angka sebenar tidak dapat dipastikan; pokoknya cukup ramai!). Lebih banyak nyawa akan tergadai dek ketegasan dan kedegilan Bashar untuk menamatkan kebangkitan ini dengan cara apa sekalipon.

Dunia terus menyaksikan dan bertepuk tangan gembira dengan apa yang berlaku. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kekal dungu dan menjadi boneka kuffar, apabila Russia dan China, dua ahli tetap Majlis Keselamatan menggunakan veto mereka untuk menolak sebarang usul untuk mengenakan tindakan terhadap rejim Syria. Iran dan Hizbullah pula terus memberikan sokongan, sama ada secara terang-terangan atau di belakang tabir terhadap rejim Bashar. Diceritakan juga bagaimana Hizbullah menghantar tentera elit dan komando mereka ke Syria untuk membantu Bashar menamatkan riwayat revolusi ini.

Terbaru, email-email Bashar, isterinya Asma, ayah mertuanya yang berpengkalan di London dan beberapa orang lagi konco dan kroni telah tersebar luas di media. Hasil selusup masuk sejak berbulan-bulan berjaya mendedahkan kekorupan dan pengkhianatan Bashar dan para penyokong tegarnya. Bagaimana di tengah-tengah krisis yang melanda, Bashar dan orang-orang kanannya boleh berjenaka bersahaja dengan apa yang sedang menimpa rakyat Syria, malah tidak mengambil seriyes langsung dengan krisis kemanusiaan yang berlaku. Diperlihatkan juga bagaimana Bashar dan isterinya Asma dengan selamba badak membeli-belah atas talian dengan riang gembiranya melalui laman-laman membeli-belah yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Begitu juga nasihat yang diberikan oleh bapa mertuanya, yang menyarankan agar Bashar mencipta helah dan alasan untuk menutup kezalimannya terhadap rakyatnya sendiri.

Hallo melloww...?? Bangkai gajah lagikan hendak ditutup..??

Di sebalik kekejaman dan penindasan yang dilakukan Bashar ke atas rakyatnya sendiri, amat mengagumkan dan mengharukan apabila melihat semangat rakyat Syria yang tidak pernah padam. Mereka begitu yakin dengan janji Allah, barangsiapa yang bersungguh-sungguh berjihad di jalanNya, pasti Dia akan menunjukkan jalan keluar. Mereka begitu yakin yang suatu hari nanti, Bashar dan rejimnya akan berjaya juga ditumbangkan. Cepat atau lambat, itu bukan persoalannya. Yang lebih penting, mereka semua bersatu, berjihad untuk melawan kekejaman rejim Bashar. Menaikkan bulu roma juga apabila menonton video-video kebangkitan mereka ini, yang membuktikan betapa bersemangatnya mereka dengan perjuangan ini. Masih terngiang-ngiang laungan keramat mereka:

"Siapa yg beri kemenangan?? Obama? Erdogan? Sarkozy?? Allah! KEMENANGAN ITU MILIK ALLAH!"

Kebebasan untuk Syria! Kezaliman mesti ditumbangkan! [Kredit]

Persoalan saya untuk diri sendiri dan anda semua; mengapakah ummah ini boleh diperlakukan sebegitu rupa oleh Bashar al-Assad dan konco-konconya..?? Begitu hinakah deen dan ummah ini??? Di manakah khalifah mukminin yang sepatutnya menjadi perisai kepada kita semua...??
  
Syria: Mengapa Kita Perlu Peduli

Dalam sebuah hadith, ar-Rasul SAW menyatakan:
"Kamu akan lihat orang Islam dalam kasih sayang mereka, lemah-lembut mereka dan kasihan belas mereka umpama seperti tubuh badan, jika ada anggota badan yang mengadu sakit, maka seluruh anggota badan yang lain turut merasainya dengan sakit demam dan berjaga malam." 
[Riwayat Bukhari]

Ini bukan krisis rakyat Syria sahaja. Bukan juga krisis negara-negara Arab, walaupon merekalah yang sepatutnya bangkit menghulurkan bantuan dahulu atas faktor geografi dan kelebihan yang ada pada mereka.

Tetapi ini adalah isu ummah. Krisis ummah. Maka ia perlu ditangani secara bersama-sama.

Sabda Rasulullah SAW lagi:
"Tidak beriman seseorang di kalangan kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri."
[Riwayat Bukhari]

Bayangkan kalau kita berada di situasi yang sama. Nau'dzubillah.. Pastilah kita mengharapkan saudara-saudara kita di Indonesia, Thailand, India malah jauh nun di Afrika Selatan sana, untuk menghulurkan bantuan bukan..? Malah sedikit simpati dan empati, menyertai demonstrasi di jalanan untuk menunjukkan sokongan mereka kepada kita dan apa-apa sahaja yang boleh menaikkan semangat kita, pastilah amat kita hargai.

Mereka adalah saudara seIslam kita. Hubungan yang paling suci adalah hubungan yang dijalinkan dengan aqidah, dan bukannya darah, bukannya bangsa apatah lagi parti politik angkat keris. Eh. Kalau bukan kita yang mahu bangkit membela mereka, takkanlah kita mengharapkan Obama, Netanyahu atau Samy Vellu pula...?

Apa Yang Boleh Dan Perlu Untuk Kita Lakukan?

"Tapi Inche gabbana... Syria dan Malaysia, jaraknya ribuan batu! Macam mana nak bantu..?"

"Ala, orang Syria bukan perlu apa-apa pon bantuan daripada kita. Entah-entah mereka tak tahu pon Malaysia tu apa!" 

"Tiada apa yang boleh kita bantu melainkan doa. Berdoa sahajalah, mudah-mudahan Allah selamatkan mereka." 

Err.. Alasan yang sama anda berikan untuk krisis yang berlaku di Palestin. Dan juga Chechnya. Dan juga Kashmir. Dan juga Sudan. Dan semua-semualah krisis yang melbiatkan saudara seIslam kita. Aduhai.

Hakikatnya, banyak benda yang boleh kita lakukan secara langsung atau tidak, bagi menunjukkan bahawa kita bersama-sama rakyat Syria keseluruhannya dalam menentang kezaliman rejim Bashar al-Assad.

Mari kita senaraikan apa yang boleh dan perlu kita lakukan, yang sudah semestinya berada dalam lingkungan kemampuan kita:
  1. Sentiasa mengikuti perkembangan terbaru yang berlaku di Syria. Jangan pernah rasa bosan dengannya.
  2. Tulis surat atau dinding atau kicauan kepada rakan-rakan Syria anda (Sekiranya anda, kalau tiada bolehlah cari! Wah!) memberikan kata-kata semangat dan pendorong
  3. Tulis surat atau email kepada kedutaan Syria di Malaysia, menyatakan bangkangan dan protes anda terhadap kekejaman Bashar. Anda boleh ke laman sesawang kedutaan Syria untuk melakukannya atau boleh juga terus ke sini. Mari lancarkan perang email terhadap mereka!
  4. Sertai demonstrasi aman seperti yang telah saya lakukan minggu lepas *koff koff rugi wile weh sapa tak pergi koff koff seriyes rugi koff koff*, tunjukkan solidariti anda kepada rakyat Syria. Percayalah, mereka menyaksikannya.
  5. Kongsikan video-video atau artikel-artikel yang berkaitan dengan revolusi Syria di laman MukaBuku atau Pengicau anda. Sebarkan berita sebenar tentang apa yang berlaku Syria supaya tak jadi macam mamat Zainuddin Maidin sorang ni. Hohoho.. (Awas! Jangan sebarkan gambar-gambar yang menakutkan lagi mengerikan! Tak tidur malam nanti dibuatnya!)
  6. Jangan lupa terus mendoakan saudara-saudara kita di sana. Yakinlah yang doa itu senjata bagi orang Mukmin! Yakin juga yang suatu hari nanti pasti Allah akan kurniakan kemenangan kepada mereka, samalah seperti yang berlaku di Tunisia, Mesir dan Libya!
  7. Teruskan mentarbiyah diri dan orang di sekitar anda menjadi individu Muslim sejati. Kerana hanya mereka yang benar-benar faham erti menjadi seorang Muslim, boleh menjiwai kepentingan memperjuangkan nasib saudara seaqidah!
Ha, kan macam-macam yang boleh kita lakukan tu..? Senyum kenyit mata.
Sekitar demo Syria yang saya sertai tempoh hari. Sungguh bersemangat anak-anak muda kita! Allahu Akbar! [Kredit: Kamera saya sendiri okayh..? Tak main la cilok dari orang lain! Wahahaha. ;p]

Lagi gambar demo.

Akhawat pon bersemangat! Hoyeeaahh!

Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, mungkin kita merasakan yang usaha kita yang kecil dan tidak seberapa ini tidak memberikan apa-apa kesan kepada revolusi rakyat nun di Syria sana nun. Apatah lagi untuk menumbangkan rejim Bashar yang maha zalim itu. Tetapi siapa tahu dan dapat menjangkakan, dengan beraraknya kita, dengan laungan takbir dan kata-kata semangat kita dan dengan doa-doa penuh keikhlasan yang kita lafazkan untuk saudara-saudara kita di sana, ia sebenarnya memberikan kekuatan kepada mereka semua untuk meneruskan pengorbanan dan perjuangan mereka..? 

Dan yang lebih mengalirkan peluh besar adalah, dakwaan-dakwaan yang bakal dikemukakan oleh mereka yang terkorban hasil kekejaman Bashar terhadap kita di mahkamah Allah nanti. Apa yang telah kau lakukan? Mengapa kau hanya duduk selesa di atas sofa menonton drama Korea tanpa mempedulikan nasib aku di Syria?? Sanggup kau biarkan Bashar dan anjing-anjingnya bermaharajalela dan berbuat sesuka hati mereka..?? Di mana kau ketika aku amat memerlukanmu...??

Gulp.

Ingat, ini bukan perjuangan rakyat Syria semata-mata. Ini perjuangan kita bersama. Ini perjuangan dan jihad menentang kezaliman dan membebaskan saudara seaqidah kita daripada cengkaman penindasan dan kekejaman!

Ayuh!

"Allah! Suriah! Huriah! Wa bass! Allahu Akbar!" 
-gabbana-
http://angelwearsgucci.blogspot.in/2012/03/cerita-ceriti-syria.html