Saturday, 17 March 2012

Perjuangan Untuk Berubah



Banyak orang yang mengeluh, sulitnya untuk mengubah orang lain. Tetapi tahukah wahai saudaraku, bahawa yang paling sulit sebenarnya adalah untuk mengubah diri sendiri. Bila diri sendiri sukar diubah, apatah lagi  mahu menuntut orang lain untuk berubah?

Masalahnya, ada juga orang yang sudah ingin berubah, tetapi keadaannya belum membenarkannya untuk berubah. Ada juga yang sudah mula untuk mengubah perangai  negatifnya, mengubah sifat buruknya, tetapi langsung tidak mendapat penghargaan dan perhatian dari orang terdekat dengannya. Akibatnya, dia merasa sia-sia berubah diri…

Ada juga yang berani  mencari perhatian dari sekitarnya, maksud hatinya mahu memberitahu pada dunia kalau dia sudah berubah. Tetapi cemuhan dan kata-kata  sinis yang dihadapinya. Ada yang akhirnya trauma untuk berubah kerana dikatakan hipokrit.

Kenapa kita harus mencemuh seseorang dahulunya  freehair, sekarang berubah memakai tudung?
Kenapa mahu disindir orang yang dahulunya tidak solat, sudah rajin mengunjungi rumah Allah?
kenapa?

Yang ingin saya sampaikan di sini adalah, kita harus “Menghargai” Perjuangan seseorang untuk mengubah dirinya, dengan memberikan kesempatan padanya untuk memperbaiki dirinya. Berikan sokongan moral, dan dorongan kepada mereka yang ingin memperbaiki diri, memperbaiki hubungan dengan Tuhan dan seterusnya ‘hubungan’ yang kurang harmoni menjadi hubungan yang jauh lebih mesra. Berikan kesempatan bagi mereka yang ingin menjalin kembali tali-tali persahabatan yang telah putus..

Mudah untuk mencari musuh, tetapi sulit untuk mencari sahabat; mudah mencari pasangan hidup baru, tetapi sukar mempertahankan pasangannya sendiri; mudah mencari cinta nafsu, tetapi sulit mencari cinta yang ikhlas; mudah menyalahkan orang lain, tetapi sukar melihat kesalahan sendiri; mudah untuk berpisah, mengapa sukar untuk ‘bersatu’ lagi?

Mudah memberi ‘label’ pada seseorang, tetapi mengapa sukar mencabut ‘label’ yang sudah diberikan?
Bila anda seorang pejuang, maka akan sangat mengerti erti sebuah pengorbanan. Bila anda adalah seorang yang senang berkorban, maka anda akan sangat mengerti erti menjadi ‘korban’ itu sendiri.  Apapun pengorbanan dan  perjuangan anda, semua itu tidak akan sia-sia… Dan ingatlah, bila orang-orang masih sukar menerima anda, dari sudut lain, pasti banyak yang menanti kebaikan anda.

Yang paling penting, Allah sentiasa menerima segala pengorbanan hambanya kearah kebaikan.
Itulah adalah sebaik – sebaiknya, berubah kerana Allah.

Bila  sahabat, pasangan anda yang lalu, tidak dapat kembali disisi lagi, jangan khuatir,  pasti masih banyak orang yang ingin menerima anda menjadi  sahabat, saudara, ataupun pasangan anda. Jangan menyerah… Tiada seorang pejuang yang mudah menyerah…
Semoga semua orang yang berhubungan dengan kita, akan dapat menghargai perjuangan kita  untuk melangkah ke arah yang lebih terang, baik, damai, dan tenang..  Masa lalu biarlah berlalu, sambutlah masa depan yang ceria, dengan memperbaiki diri kita yang sekarang.Tidak perlu dengar “apa kata orang” tetapi dengarlah “apa kata hati mu”
Tentunya,  mendengar dari  kata hati yang tidak akan ‘makan hati’…

Monday, 12 March 2012

Allah Panggil 3 Kali Sahaja


Jadi lelaki-lelaki yang bajet macho di luar sana, kau hanya akan terserlah kehenseman apabila dengar je azan kau terus solat sunat di rumah [Al-Muwatta' No: 8.1.4] dan susun langkah ke masjid untuk berjemaah fardhu.

Semua orang pun tau solat berjemaah tu pahalanya kali 27 banding dengan solat sesorang [al-Bukhari no: 645 & Muslim no: 249]. Tapi tak semua ambil tau kelebihan solat berjemaah, walhalnya Rasulullah SAW sentiasa solat berjemaah sejak berhijrah ke Madinah.


Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seorang muslim keluar menuju masjid, maka Allah akan menulis baginya untuk setiap langkah yang diayunkan satu kebaikan dan menghapuskan darinya satu kesalahan hingga ia sampai di safnya.” [Al-Albani di dalam Al-Silsilah As-Sohehah No: 1063]

Ikutkan hati nabi, nak je baginda perintahkan semua orang solat jemaah. Sampaikan baginda nak bawak kayu api pi bakar rumah yang kat dalam dia ada kaum lelaki yang tak pi solat jemaah kat masjid [berdasarkan hadis dari Abu Hurairah, riwayat Bukhari & Muslim].

Hadis tersebut tunjuk kat kita bahawa solat jemaah di masjid ni adalah Fardhu Ain [kata Ibnu Hajar Al Asqolani dalam Fathul Bari]. Fardhu Ain ni Tuan-Tuan maksud dia kewajipan bagi setiap diri. Takkan Rasulullah SAW sampai nak pi bakar rumah if solat jemaah ni sekadar fardhu kifayah? Fardhu kifayah ni pulak maksud dia, if da ada orang lain kat kampung tu yang pi solat jemaah di masjid atau surau, maka orang lain yang tak buat tu kira takpalah.

Dulu sejak zaman belajar sampai la ni, time-time aku down aku akan jejak masjid atau surau cari tenang. Kau rasa tenang tak duk kat masjid? Rasa macam ditenggelamkan dalam dunia berbeza kejap. Dulu aku selalu fikir sebab ni rumah-rumah Allah. Apatah lagi bila dalam kalamNya dah dinyatakan, hati kita tenang bila ingat Dia [Ar-Ra'du: 28].

Ikut kajian Sains, banyak dah terutama pasal kalimah Allah, bila kita baca dalam air pun molekul dia berubah jadi super indah. Oh ini seriyes benar sebab aku dan sahabat-sahabat buat research sikit berdasarkan kajian orang terdahulu. Untuk subjek ape entah kat Universiti dulu. Walaupun aku budak Sains, tapi zaman Universiti dulu banyak sangat subjek keagamaan sampai dah lupa subjek mana satu.

Jadi bila azan dilaungkan, gelombang dia akan diserakkan ke sekeliling, sekaligus gelombang sekeliling kita nih akan berubah ke frekuensi theta. Which frekuensi yang sama jadi bila kita dalam keadaan sangat relax. Bila sangat relax wajiblah tenang. Sebab tu mudah capai tahap khusyu’ dan tenang bila solat di rumah-rumahNya.

Papepun rasa tenang tu Allah yang bagi, segala logical reasoning ni untuk orang-orang yang nak kukuhkan lagi iman yakin depa. Termasuklah orang-orang yang belajar Medical Science, banyak ketemu kebesaranNya dalam penciptaan manusia. Moga membawa para penuntut ilmu lebih dekat pada Allah.

Wanita pulak, lebih baik solat di dalam bilik di dalam rumah mereka berbanding solat jemaah di masjid [Riwayat Ibn Abi Syaibah, al-Baihaqi dan Ibn Khuzaimah, Fiqh al-Sunnah li an-Nisa, m/s 249]. Taaapi korang hanya akan nampak cun if usai azan je kau dah angkat takbir nak solat sunat/fardhu. Seriyesly.
Oke! If nak kait dengan Sains jugak. Konsep masih sama, gelombang Theta tadi tuh. Dia berserakan, sampai jugaklah rumah-rumah yang dapat dengar azan neh. So awal waktu tuh dia segar lagi, makin lewat makin kurang dah gelombang best tersebut. So, rugi.

Apabila ditanya pada Nabi SAW apakah amalan yang terbaik, baginda cakap solat di awal waktu [Hadis sahih riwayat Tirmidzi & Abu Daud]. Sebab-sebab yang lain adalah, kau bukan boleh expect bila kau akan mati? Kan? If mati sebelum sempat solat nak buat lagu mana? Jadilah kita golongan yang melengahkan solat.

Lain pada tu, ada lagi benda yang kita tak boleh expect. Period yang datang pada waktu yang tak kita jangka. Dan if kita duk rumah, tetamu yang mai tiba-tiba. Wanita yang kat ofis pulak, kerja yang tiba-tiba je Bos bagi. Kena pulak if time tu dah habis waktu rehat dan kau baru je nak gerak pi solat tetibe Bos panggil suh buat kerja.
Biasanya orang yang belum solat sedang waktu dah lewat sangat, depa segan nak bitau. So biasanya proceed jelah buat kerja dulu.
So janganlah berlengah. Jangan. Please please. Jadilah kita wanita-wanita yang dimuliakan..

PANGGILAN SETERUSNYA

Panggilan kedua is panggilan haji dan panggilan ketiga is panggilan Ilahi bi ma’na dijemput Ilahi meninggalkan dunia yang fana nilah.
Oh aku tak berniat nak bincang pasal kedua-dua panggilan ni. Agak-agak nak baca sangat cuba kau tanya kat Tuan Haji Google yang serba tahu. Make sure source bacaan korang tu reliable na. If rajin aku citer lah lenkali.

PENUTUP

Bagi wanita jom try-try galakkan mahram kita tunaikan solat berjemaah di masjid/surau. Agak-agak payah kau follow sekali bagi semangat. Dah agak oke kau lepas jelah dia pi sorang. Seriyes memang kena tawajjuh (bersungguh-sungguh) wa cakap lu. Mana ada semua benda datang bergolek.
Ingat senang ke nak dapat syurga? Fuh! Tapi wanita seriyes senang nak masuk syurga. Hubby yang pergi jemaah masjid, isteri dapat sama pahala 27 kali hatta solat sengsorang je di rumah. Tapi wanita pun senang jugak nak masuk neraka if tak kena gaya. Hah lenkali lah citer!
Doalah jugak kat Allah supaya hadirkan tenang, khusyu’ dalam hati-hati kita. Bantu kita berjemaah di masjid bagi lelaki dan bantu kita solat awal waktu bagi wanita. Kena usaha kuat lawan nafsu ni. Kena usaha sungguh-sungguh takdak masa da nak main-main.

Sumber: http://www.ilmi-islam.com/

Friday, 9 March 2012

Kita Sayang Allah


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh

Kita kata kita sayang Allah. Tapi bila kita ditimpa musibah, kita merungut. kita membenci. kita bersedih. Kita lupa yang beri kita musibah tu tidak lain hanya Allah. maka bencikah kita padaNya? adakah dengan merungut itu tanda kita sayang padaNya? sedih kita itu adakah kerana kita sayang padaNya atau kerana kita putus asa padaNya?
"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)" [Al-Baqarah: 214] 

Kita kata kita sayang Allah, tapi bila kita diberi nikmat, kita kata terima kasih bukan padaNya dahulu. Kita senyum bukan kerana ingatan kita padaNya. Bila diberi nikmat, kita rasa cukup hanya dengan mengucapkan "alhamdulillah", kita rasa cukup hanya dengan melakukan syujud syukur? cukupkah? nikmat Allah adakah hanya keputusan exam yang berwarna warni yang berterbangan [baca: flying colours]? adakah nikmat Allah itu hanya dgn makanan2 yang sedap2. Adakah kerana kita dapat apa yang kita mahu?sedangkan setiap saat yg kita ada, setiap titik udara yg kita sedut itu juga nikmatNya. sayangkah kita padaNya?

"Mereka itu adalah orang-orang yang telah diberi nikmat oleh Allah, yaitu para nabi dari keturunan Adam, dan dari orang-orang yang Kami angkat bersama Nuh, dan dari keturunan Ibrahim dan Israil, dan dari orang-orang yang telah Kami beri petunjuk dan telah Kami pilih. Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis" [ Maryam 19: 58]
"Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan): "Berkerjalah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!" Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur" [Saba' 34:13]  

Kita kata kita sayang Allah, tapi apa yang Dia suruh kita abaikan. Apa yang dia suruh kita anggap ianya remeh. Kita lagi selesa buat perkara yang dilarang, kita lagi gembira bila melakukan perkara yang Dia benci. kita rasa main game lagi best dari baca Alquran. Kita rasa berpakaian seksi lagi anggun dari berpakaian menutup aurat. Kita rasa bersalah, takut dan kelam kabut bila kita dtg lambat ke kerja, tp kita tak rasa apa2 bila kita melambat2kan solat. Kita kata kita sayang Allah tapi kita berkawan dengan syaitan yg durjana. Sayangkah kita padaNya jika begitu?


"Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Rabbnya, (mereka berkata): "Ya Rabb kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin".[as-Sajdah, 32:12]

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan[as-Saff, 61:2-3] 
Kalau kita sayang. kita tunjuk kita sayang. melalui hati dan amalan. Kalau kita sayang padaNya. Istiqamahlah dalam melakukan kebaikan. Bersyukurlah dikala senang dan dikala susah. Berriang gembiralah ketika ditimpa musibah kerana Allah sedang memberi kita peluang merebut pahalaNya. Beramallah sebaik mungkin, seikhlas mungkin, sebanyak yang mungkin. Memang hati ini, Allah sahaja yang tahu, tapi berusahalah meng'update' iman di hati ini. Moga kita bertemu di syurgaNya kelak. InsyaAllah.


http://hazelnut208.blogspot.in/?zx=26af04346ad34d2d





Monday, 5 March 2012

Impian Kita



"Apa impian terbesar awak ya?"
Saya bertanya pada dia.
"Saya nak jadi kaya, supaya dengan kekayaan itu, saya boleh buat dakwah."
Saya tersenyum mengiakan jawapannya.
"Awak?"
Aku cuba meneliti wajahnya, berkira-kira apa reaksinya jika dia mendengar jawapanku.
"Saya nak jadi wakil rakyat. Dengan itu, saya dapat mengubah pemerintahan negara kita ini."
"Awak memang! Gila kuasa!"
Ketawa kami pecah berderai bersama himpunan suara-suara manusia yang amat ramai di kompleks pasaraya tersebut.
Hakikatnya, walaupun kita akan sering menciptakan impian-impian kita di dunia ini, satu sahaja impian yang takkan pernah berubah: melihat Islam tertegak di atas dunia ini.
Dengan impian itu, kita berharap, akan memasuki syurga Allah.
Sehinggalah kita berusaha sebaik mungkin, mencurahkan segala tenaga dan idea kita , wang dan juga perasaan kita, untuk mencapai impian ini.
Untuk melihat daulah Islam tertegak di muka bumi Allah ini.
Untuk beroleh syurga Allah,dengan rahmatNya.
Sehinggalah ketika kita mahu membina individu Muslim itu sendiri memerlukan perancangan yang serius, kompleks dan bijaksana. Sehingga begitu banyak tenaga dicurahkan untuk mengenal pasti dan menggali potensi-potensi anasir taghyir yang berada di corok pelosok dunia! Walaupun yang didapatinya itu adalah seorang!
Kerana kita amat yakin bahawa, terkadang, mendapat seorang yang seperti seribu umat itu, lebih berbaloi malah amat bermakna untuk dakwah dari membawa ribuan pengikut-pengikut dakwah, walaupun kedua-dua golongan itu sama pentingnya dalam bangunan dakwah.
Begitu jugalah, akhirnya kita memasuki anak tangga kedua, yang perancangan serta tarbiyah dan ujiannya teramat berbeza sekali dari fasa masa bujang. Dan itulah juga yang perlu kita fokuskan perhatian dan diberikan taujihaat yang khas dalam tarbiyah kita. Kerana dalam membina daulah, takkan mungkin berlaku tanpa adanya bangunan baitul muslim yang mapan.

Kerana dari keluarga muslim yang kukuh dan seimbang itulah, akhirnya akan terwujudnya masyarakat muslim, hasil dari keluarga muslim yang anak-anak mereka dididik dengan neraca iman dan Islam.
Dakwah di Malaysia yang telah hampir masuk ke dekad ke 4, menyaksikan kelahiran 2 generasi yang berbeza. Generasi 'baby-boomer' (generasi pertama dakwah, berumur 50-60) serta generasi Y ( generasi anak2 mereka, berumur 20an-30an).
Generasi Y ini telah pun melahirkan generasi ketiga dalam dakwah ini, yang saya kira mungkin satu masa nanti mereka akan dinamakan generasi Z. (hahaha, saya pun tak tahu generasi ini akan dinamakan generasi apa)
Aset pengalaman serta tinggalan-tinggalan usaha dakwah generasi baby-boomer inilah yang menjadi ibrah serta panduan buat generasi Y untuk terus melakarkan karya-karya dakwah.
Kelemahan serta kesalahan generasi terdahulu telah kita pelajari dan kita perbaiki, dan dari situlah kita akan membentuk generasi seterusnya menjadi generasi lebih cemerlang dari generasi kita sendiri.
Dan kita mungkin takkan dapat melihat daulah itu berada pada tangan kita. Mungkin saya sendiri takkan mampu menjadi wakil rakyat yang mampu mengubah negara ini.
Tetapi generasi Z kita akan pasti meraih kemenangan itu. Jika kita bersungguh-sungguh bekerja ke arah itu!
Tapi itu semua datang daripada kebijaksanaan kita mengambil aset pengalaman, mahupun hikmah yang tersembunyi pada generasi babyboomer kita, serta memanfaatkan prasarana yang telah mereka sediakan untuk  kita.
Kerana, tinggal kita sahaja yang mampu mewarisi dakwah ini.
Saya ulangi.
TINGGAL KITA SAHAJA YANG MAMPU MENERUSKAN DAKWAH INI!
Apabila kita melihat mak ayah kita, yang sudah pun pencen serta menghabiskan masa mereka menghitung hari ke negara akhirat. Di tangan mereka memutarkan bebola tasbih, dan bibir mereka basah dengan zikir. Kita melihat mereka mengimpikan kitalah yang dapat mewariskan perjuangan dan zuriat mereka di atas bumi Allah ini.

Begitu jugalah dengan generasi terawal dakwah ini. Tentu mereka mahu kita mewarisi dakwah mereka, mengembangkan serta mampu membumikan dakwah Islam di muka bumi ini.
Agar pahala mereka berterusan dan sehingga mereka mendapat pahala tertegaknya daulah Islam di dunia ini, walaupun jasad mereka ditemani bidadari syurga nanti.
Impian kita teramat besar.
Impian kita teramat besar.
Bila kita bermimpikan hanya untuk menjadi kaya mahupun wakil rakyat, mungkin kita akan dapat, mungkin tidak.
Atau kalau kita dapat pun, mungkin kita akan diuji oleh Allah, dan akhirnya hanyut dalam harta, kereta mewah, mahupun pada pangkat dan kefamousan.
Tetapi, bila kita impikan syurga Allah...
Syurga Allah taala..
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal shaleh (yang banyak), bagi mereka (kelak) surga yang mengalir di bawahnya berbagai macam sungai. Itulah kesuksesan yang maha besar (tanpa batas). (Q.S. Al-Buruj : 11)
Bagi orang-orang yang berbuat baik (profesional dalam segala hal), ada pahala yang terbaik (surga) dan tambahannya (melihat Allah). Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni surga, mereka kekal di dalamnya (Q.S. Yunus: 26)
"Contoh surga yang dijanjikan kepada orang-orang yang Bertaqwa itu (adalah) yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tiada berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar (arak) yang lezat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring; dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan ampunan dari Tuhan mereka,(apakah) sama dengan orang yang kekal dalam Neraka dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong-motong ususnya?" (Q.S. Muhammad: 15)
Sehinggakan kita melihat kecilnya nikmat-nikmat dunia ini, dan kita amat dahagakan basahan-basahan sungai di syurga, dan berasa sangat nyaman bersama bakal-bakal ahli syurga di taman-tamanNya di dunia ini.
Sehinggalah, keinginan, ketamakan, tumuhaat kita pada syurga itu, mengatasi segala keperitan yang kita alami di dunia ini.
Sehinggalah obsesi kita kepada nikmat akhirat itu, menjadikan kita lupa akan kepayahan, kesengsaraan, kepedihan serta air mata kita di dunia ini.
Sehinggalah, kerinduan kita pada Rabb itu, menjadikan kita lupa dan tak terfikir akan habuan di dunia, walaupun seluruh masyarakat kita, seluruh masyarakat kita sedang berada dalam arus duniawi yang mengejar pangkat serta prestasi di dunia ini.
Kerana obsesi kita adalah syurga. Dan kita teramat mahukan syurga itu, sehingga kita berusaha untuk menggapainya. Pada usaha-usaha kecil mahupun besar dalam menyumbang ke arah tertegaknya daulah Islam ini.
Kerana itu, jangan kita pandang lekeh pada usaha-usaha membina manusia, walaupun dilihat kecil. Mahupun kepada usaha-usaha menarik semula sahabat-sahabat kita yang sedang mengalami fasa adaptasi yang sengit pada dunia pekerjaan mahupun keluarga. Mahupun kamu merasai diri kamu tidak penting buat dakwah, hanya kerana orang lain teramat super busy tahap mega, dan tidak sempat untuk memenuhi tuntutan ukhuwah buat kamu.
Kerana, apabila kita memahami dan ingat balik akan impian syurga kita ini, maka di situlah, kita akan sentiasa 'mempush' diri kita, untuk meraih redha Allah, dengan usaha kita menjadi abid dan khalifahNya.
Kita akan sentiasa dahaga untuk meraih nikmat-nikmat syurga itu, walaupun dengan segala kekurangan yang kita ada.
Walaupun kita dihina dan dipandang enteng oleh manusia.
Walaupun manusia tak mahu menerima kita dan menolak dakwah kita.
Kerana keberadaan kita dalam dakwah dan tarbiyah ini, bukan disebabkan manusia.
Bukanlah manusia yang menjadikan motivasi kita untuk kekal di jalan dakwah ini.
Bukannya murabbi, bukannya teman sebaya dalam dakwah, bukanlah juga mutarabbi kita.
Kerana manusia akan mengecewakan kita.
Mereka akan datang dan pergi dari kehidupan kita.
Malah, jika kita adukan semua masalah kita pada mereka, dan kita berharap mereka mampu menyelesaikan masalah kita, mereka takkan mampu . Sekali-kali takkan mampu!
Kerana, yang dapat memotivasikan diri kita, yang sentiasa menetapkan hati kita di jalan dakwah ini, hanyalah apabila kita berpegang pada tali Allah. Berpegang pada janji kita kepada Allah. Serta sentiasa mengharapkan syurgaNya, dan mengharapkan perjumpaan kita pada Allah.
Dan tentu, dunia ini, akan sentiasa menjadikan kita alpa akan impian kita itu.
Walaupun kita berada dalam lingkungan dakwah dan tarbiyah. Kerana dunia ini amat melekakan kita! Dan ramainya pengikut kita sendiri menjadikan kita alpa kepada Allah!
Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya. ( takathur:1)
'inilah maksudnya ayat alhakumuttakasur ini. Maknanya, manusia ini akan sangat suka berbanyak-banyak!'
Begitu ujar murabbi kami di satu masa aku bertanya kepadanya, mengapa ada antara asatizah, akhirnya keluar dari jemaah ini dan membuat kumpulan mereka sendiri.
'Tapi ustaz, takkanlah banyak pengikut dakwah pun begitu juga? Bukankah mereka dalam dakwah?'
Tanyaku, kurang memahami, bagaimana orang yang berada dalam dakwah dan tarbiyah, boleh terlupa akan peringatan ALlah ini.
'Memanglah. Manusia ini memang akan sibuk, mencari bukan sahaja harta, tetapi pengaruh dan pengikut!'
Benarlah, sedangkan Nabi Adam sendiri pernah alpa dan terleka, sedangkan dihadapannya adalah Allah, para malaikat serta syurga nikmat tiada tara!
Baginda sendiri boleh terlupa! Akhirnya Allah mendapati baginda sendiri tidak teguh keazamannya.
"Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa lalu, tapi ia lupa; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh." (115:Surah Taaha)
Sehinggalah Allah mentarbiyah baginda, dengan tarbiyah yang keras, akhirnya baginda sedar dan bertaubat.
Dari ujian itulah akhirnya baginda belajar akan tipu daya syaitan dan menjadi teguh setelah itu.
Begitulah kehidupan kita.
Kita akan diuji, dengan kesenangan dan kesukaran.
Diuji dengan kemewahan mahupun kemiskinan.
Akhirnya Allah mahu lihat akan keteguhan dan keazaman kita dalam baiah kita kepada dakwahNya.
Samada selama ini, yang kita cari, adakah nikmat di dunia ini..
Ataupun kepada syurga, serta nikmat-nikmatnya yang nan abadi..
Sesungguhnya penghuni surga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan (mereka).(55) Mereka dan istri-istri mereka berada dalam tempat yang teduh, bertelekan di atas dipan-dipan.(56) Di surga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta.(57) (Kepada mereka dikatakan): "Salam", sebagai ucapan selamat dari Tuhan Pencipta Yang Maha Penyayang.(58) (Q.S. Yasin: 55 – 58)
Penulis adalah mahasiswa jurusan perubatan di University of Dundee, Scotland. Beliau sering menghasilkan karya dakwah di http://muharikah.wordpress.com. Selain itu beliau dan rakan-rakan seperjuangan juga menubuhkan http://muharikah.com/ bagi menyampaikan dahwah dengan meluas kepada semua.